Friday, 2 February 2018

Eksperimen Kadar Tindak Balas

Eksperimen Kimia yang pertama dijalankan pada tahun ini. 

Terdapat 5 faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas. Daripada 5 faktor tersebut, 2 eksperimen bagi mengkaji faktor kesan saiz dan kepekatan bahan terhadap faktor tindak balas telah dijalankan. 

Bagi set induksi, kami menunjukkan demo melarutkan panadol soluble dalam bikar berisi air, di mana satu bikar menggunkan sebiji panadol soluble, manakala satu bikar lagi menggunakan serpihan kecil panadol soluble.


Jelas didapati bahawa ketulan kecil panadol soluble dapat larut lebih cepat dalam air dan habis bertindak balas terlebih dahulu berbanding seketul besar. 


Seterusnya, semua putera dalam kelas dibahagikan kepada 6 kumpulan. 3 kumpulan menjalankan eksperimen faktor saiz bahan, manakala 3 kumpulan lagi menjalankan eksperimen faktor kepekatan. Kemudian, setiap kumpulan akan bertukar ke stesen bersebelahan bagi menjalankan eksperimen yang kedua. 

Eksperimen yang dijalankan adalah: 
1. Faktor saiz : tindak balas antara ketulan / serbuk marmar (kalsium karbonat ) dan asid hidroklorik
2. Faktor kepekatan: tindak balas antraa natrium tiosulfat dan asid sulfurik 




Nampaknya, semua kumpulan berjaya menjalankan eksperimen dengan lancar dan mendapatkan data yang hampir tepat. Apa yang paling penting adalah keseronokan belajar & bekerja secara berkumpulan. 

~ baca betul-betul. mata mesti berada pada paras meniskus air ok ~

~ kemahiran menimbang bahan menggunakan neraca elektronik ~


~ eksperimen faktor kepekatan ~ 

~ nice bubbles ~ 

Selepas semua kumpulan menamatkan eksperimen, setiap kumpulan membentangkan data masing-masing dan seterusnya melukiskan graf. Namun, disebabkan masa yang tidak mencukupi, maka bahagian analisis data akan dibentangkan semasa sesi PdPc seterusnya dalam kelas. 

Walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil, namun beberapa insiden kecil tetap berlaku, di mana ada seorang putera yang mengalami kecederaan ringan kerana terdapat radas yang pecah. Sebab itulah, taklimat keselamatan oleh guru sebelum eksperimen adalah sangat penting dan tidak boleh diabaikan. 

Ada juga yang menjadikan kawasan makmal dibanjiri air (err.....ini mungkin bukan insiden kecil).  Disebabkan oleh kemahiran inkuiri yang begitu tinggi menyebabkan beliau mencuba pancuran air dalam makmal yang biasa digunakan semasa kebakaran kecil dalam makmal. Pastinya insiden ini akan menjadi kenangan terindah oleh putera tersebut dan gurunya. hehehe............ 

Jadi oleh itu sentiasalah utamakan keselamatan semasa berada dalam makmal sains ok!  

Sesi Ulangkaji Kimia Ting. 4

Mata pelajaran Kimia sememangnya memerlukan kefahaman yang mendalam dan berkait antara satu tajuk dengan tajuk yang lain. Apabila mula mempelajari tajuk bagi Tingkatan 5, banyak juga yang memerlukan kefahaman terhadap tajuk yang telah dipelajari semasa Tingkatan 4. 


Oleh itu, bagi membantu para putera Ting. 5 untuk mengimbas semula konsep-konsep penting Kimia yang telah dipelajari pada tahun lepas, maka sesi ulangkaji khas telah dijalankan semasa 2 minggu pertama sesi persekolahan tahun 2018. 



~ Penggunaan visualiser ~

 
Para putera seramai 265 orang dibahagikan kepada 2 kumpulan, di mana kumpulan 1 ditempatkan di Mess Putera, manakala satu kumpulan lagi di Auditorium. Setiap kumpulan dibimbing oleh 2 orang guru Kimia. Selain daripada menjalankan sesi PdPc, dalam masa yang sama juga kami dapat menjalankan PLC dengan menggunakan strategi Peer Coaching






~ Portal iLearnAce ~ 

Satu sesi pada waktu malam turut diadakan. 





Semoga hasil daripada sesi ulangkaji ini akan dapat membantu meningkatkan minat dan keyakinan para putera dalam mata pelajaran Kimia. 

Chemistry is fun! 

PdPc Kimia Menggunakan Portal iLearnAce

Panitia Kimia MTD tidak mahu ketinggalan dalam melaksanakan PdPc Abad ke-21. Walaupun PAK 21 tidak semstinya bermaksud PdPc menggunakan teknologi, namun seiring dengan ledakan teknologi maklumat masa kini, elemen ICT merupakan salah satu tools yang penting dan dapat menjadikan pengalaman belajar lebih menarik. Sementelahan pula, konsep digital classroom semakin mendapat tempat dalam institusi pendidikan kini. 


Bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan ICT yang dibekalkan dalam setiap kelas, portal iLearnAce digunakan sebagai BBM semasa sesi PdPc dijalankan. Melalui portal ini, guru-guru dapat menunjukkan nota-nota penting bagi tajuk yang dibincangkan serta boleh memuatnaik video dalam portal individu masing-masing. Jadi, guru-guru tidak perlu lagi memuat turun video dan menyimpannya dalam dalam komputer, hanya perlu paste link video dalam portal tersebut. 



Nampaknya, setakat ini semua guru dan putera MTD tertarik dengan penggunaan portal iLearnAce. Pengalaman mengajar guru menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa penyediaan BBM. 


p/s: tak sabar menunggu semua putera dapat komputer tablet supaya portal iLearnAce dapat digunakan secara maksimum. 

Perjumpaan Waris Ting. 5 Bil 1/2018

Pada 20 Januari 2018 telah diadakan sesi perjumpaan antara guru-guru MTD bersama ibu bapa / waris putera-putera Tingkatan 5. Perjumpaan ini bertujuan bagi membincangkan prestasi para putera Ting. 5 berdasarkan kepada keputusan peperiksaan akhir tahun 2017 serta kesediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini. 


Di Maktab Tentera Diraja (MTD), ibu bapa / waris akan bertemu terus dengan guru-guru anak masing-masing bagi setiap mata pelajaran. Seperti kebiasaannya di sini, Panitia Kimia telah bersedia dari awal di stesen yang telah ditetapkan dalam dewan. 


Alhamdulillah, secara keseluruhannya sesi perjumpaan bersama ibu bapa / waris berjalan dengan lancar. Kebanyakan ibu bapa memberikan kerjasama yang cukup baik serta begitu terbuka dalam sesi perbincangan bersama para guru. 



Semoga prestasi para putera Ting. 5 tahun ini akan terus meningkat, terutamanya dalam mata pelajaran Kimia. Semoga mereka akan terus berusaha gigih demi merealisasikan impian dan harapan yang diletakkan oleh ibu bapa masing-masing. 

Semoga berjumpa lagi semasa sesi perjumpaan waris yang akan datang! 

Mesyuarat Panitia Kimia Bil 1/2018

Pada 8 Januari 2018, ahli-ahli Panitia MTD telah mengadakan perjumpaan yang pertama bagi membincangkan perancangan aktiviti panitia bagi tahun 2018. Minggu ini merupakan minggu pertama sesi persekolahan di MTD pada tahun ini. 




Salam Perkenalan

Tahun 2018 telah membuka tirainya bersama lembaran baru bagi geng Panitia Kimia MTD. Tahun ini Panitia Kimia mempunyai kekuatan seramai 5 orang dengan diketuai Ketua Panitianya, Pn.Hairunnisa. Ahli-ahlinya pula terdiri daripada Mejar Khairul Soffry, Pn. Goh Pheynee, Pn. Nadzirah dan Cik Nurul Hanim yang baru bertukar masuk ke MTD dari Sibu, Sarawak.